#14 - Bekerja sambil belajar


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Alhamdulillah. Pada entry ini, saya mahu kongsikan pengalaman saya berkenaan bagaimana saya mencari duit sepanjang saya menjadi seorang pelajar. Untuk pengetahuan anda semua, saya sekarang ini seorang pelajar tahun akhir di mana peperiksaan tahun akhir sudah tamat, thesis sudah hantar dan sekarang ini sedang menunggu untuk kemasukan praktikal. Semestinya pekerjaan-pekerjaan yang saya lakukan ini tidak dapat dilakukan oleh semua pelajar dek kerana beberapa kekangan. Namun, saya yakin, anda sebagai seorang mahsiswa mampu mengukur baju di badan sendiri. Dari segi masa, tidak dinafikan saya juga ada kekangan kerana saya perlu menghadiri kelas dan menyiapkan tugasan, tetapi saya susun jadual kelas saya sendiri mengikut kesesuaian seboleh yang mungkin dan tugasan mestilah disiapkan tanpa lengah, di mana kuncinya ialah disiplin dan dedikasi. Oh ya, itu gambar saya waktu Semester 1. Jangan gelak.

Pekerjaan 1 - Bekerja di kilang

kilang Honda, Line 2 (Hafiz, 2014).

Saya pernah kerja sebagai seorang pekerja kontrak di kilang pembuatan kereta, Honda. Kerja kilang easy money but easily exhausted. Kenapa saya katakan begitu? Melalui pengalaman saya, dikatakan easy money kerana saya hanya lakukan kerja saya sehingga habis waktu bekerja, kemudian dapat duit manakala dikatakan easily exhausted kerana semasa kerja kilang, saya cepat penat dan haus (dehydrated) disebabkan bahang dalam kilang tersebut walaupun ada kipas dan sistem pengudaraan. Bila sampai rumah, saya rasa sangat letih dan fikir hanya nak tidur. Tambahan pula, keselamatan diri sangatlah dititikberatkan kerana apabila bekerja di kilang, insiden mudah berlaku. Kerja kilang hanya dapat meningkatkan kemahiran, memberi pengetahuan berkenaan suasana bekerja dalam kilang, namun untuk mengasah kemahiran berkomunikasi amatlah jauh sekali kerana semestinya saya tidak perlu berkomunikasi dengan pelanggan melainkan pekerja-pekerja lain sewaktu bekerja, itupun jika berkesempatan.  Secara purata, saya akan dapat RM50 sehari apabila kerja di kilang selain daripada boleh menikmati bervariasi menu makanan yang percuma. Cukuplah saya bekerja di situ selama sebulan semasa cuti semester. Saya tidak syorkan para pelajar untuk bekerja di kilang melainkan rasa betul-betul terdesak.

Pekerjaan 2 -  Bekerja di kedai makan

itulah Wak Judin, memang king

Kerja di kedai makan memang seronok sebab dapat makan percuma, hahaha, maka dapatlah jimat perbelanjaan makan, tetapi bergantung juga kepada tuan kedai. Saya pernah kerja part-time di kedai makan Warung Wak Judin Kambing Bakar, Alor Gajah. Tuan kedai sangat baik dan makanannya sedap-sedap. Saya bila datang sebagai customer, selalu order Nasi Goreng Kambing Podeh tambah nasi lebih dan Kambing Bakar bersama sos Wet Butter. Kerja di kedai makan, semestinya dapat mengasah kemahiran bekerja secara berpasukan (teamwork) dan juga kemahiran berkomunikasi dengan pelanggan (communication skills) semasa mengambil pesanan. Sehari gaji RM30 dan jika jualan memuaskan, akan dapat bonus.

Pekerjaan 3 - Bekerja di shopping complex

Freeport Afamosa Outlet (Othman, 2015)

Bekerja part-time menjual aiskrim di gerai yang bernama Sub18 Gelato bertempat di Freeport Afamosa Outlet (FAO) sangat mencabar kerana secara umumnya, bila di hujung minggu (weekends) atau musim percutian (holiday), saya kena melayan beratus-ratus orang pelanggan tetapi bila hari bekerja (weekdays), sangatlah sunyi, yang ada cengkerik sahaja, hahaha. Tidak kisahlah sama ada kerja di kedai pakaian atau pun makanan, situasinya tetap sama. Kerja part-time di sini, RM6 untuk satu jam manakala jika full-time, gajinya bawah sikit daripada part-time. Sama seperti pekerjaan 2, saya dapat mengasah kemahiran berkomunikasi dan kemahiran bekerja secara berpasukan. Tambahan pula, ada perkara menarik untuk dikongsikan, saya tidak dapat bekerja di kedai pakaian tetapi saya pernah bertanya kepada pelajar-pelajar daripada universiti yang sama, mereka bekerja part-time sebagai promoter di kedai pakaian dan memperolehi gaji sebanyak RM2k dan ke atas termasuk komisen di mana gaji basic dalam RM1k.

Pekerjaan 4 - Berniaga sebagai agen dropship

sistem dropship yang diguna pakai oleh syarikat T-Muslimeen

Saya pernah menjadi seorang agent dropship, untuk sebuah syarikat yang menjual baju. Jualan atas talian boleh dikatakan sangat mencabar kerana bukan senang untuk jual produk tetapi jika kena pada cara yang betul, insyaAllah jualan produk amat laris. Bila jadi agen dropship, kenalah usaha sendiri kerana jika tiada promosi, tiadalah jualan, maka tiadalah duit masuk dan kadang-kadang terpaksa keluarkan modal sendiri. Boleh dikatakan agak berisiko bagi pelajar-pelajar yang tidak mahir dalam selok-belok pemasaran di atas talian. Namun, antara perkara-perkara yang mesti ditekankan dalam perniagaan atas talian ini ialah kreativiti dalam pemasaran dan juga after sales customer service.

Pekerjaan 5 - Menjadi seorang pemandu kereta sewa

logo company Uber (Morris, 2016).

Tidak kisahlah sama ada aplikasi Grab atau Uber. Kedua-dua merupakan aplikasi dengan fungsi yang sama dan saya seorang pemandu Uber. Seorang pelajar boleh jadi pemandu Uber seperti saya dengan mematuhi syarat-syarat seperti yang ditetapkan seperti usia kereta saya tidak melebihi 5 tahun dan juga nama saya ada di dalam penyata insuran walaupun sebagai pemandu kedua. Jumlah pendapatan memang memuaskan untuk seorang pelajar tetapi perlu juga diambil kira berkenaan penyelenggaraan kereta, kos perbelanjaan minyak, dan sebagainya. Bagi saya, menjadi seorang pemandu Uber sangat bersesuaian kerana masanya yang sangat fleksibel, saya boleh mula bila habis kelas dan pada bila-bila masa serta saya dapat berkenalan dengan orang-orang baru, sekali lagi, meningkatkan kemahiran komunikasi. Tambahan pula, saya seorang yang suka memandu dan berjalan-jalan, well it's a bonus.

Pekerjaan 6 - Menjual makanan

sandwich (Oh Media, 2016)

Memandangkan universiti mempunyai ramai pelajar, saya mengambil peluang untuk berniaga. Saya jual sandwich sardin dan telur dengan hanya meletakkannya di dalam bekas kemudian menempatkannya di surau, kawasan perempuan, sebab kebiasaannya di situlah paling laris dan jarang berlakunya kecurian di mana saya hanya meletakkan tabung jualan, seterusnya sibuk menghadiri kelas dan menyiapkan tugasan. Jualan sebegini memakan masa dari segi penyediaan makanan, berpotensi untuk kerugian apabila tidak laku kerana tiada promosi atau berlaku kecurian, dan juga keuntungan memakan masa yang lama. Semasa saya meniaga makanan ini, saya buat kecil-kecilan sahaja, tidak banyak pun saya jual tetapi bolehlah lepas duit makan untuk sehari sebab saya waktu itu masak di rumah.

Alhamdulillah. Saya harap pengalaman yang dikongsikan ini bermanfaat untuk para pembaca khususnya pelajar-pelajar yang kini bergelut menghadapi tekanan ekonomi yang kian meruncing. Jika anda mahu, anda kenalah berusaha dan sahut cabaran kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Saya pasti mereka yang telah bergraduasi mempunyai pengalaman dan cara yang berbeza, jangan segan-segan untuk berkongsi ya, hehehe.

Rujukan gambar:

1. @twt_MICET. (2016). Warung Wak Judin Kambing Bakar by Aizudin (ex-Micet). [Online]. [Accessed on 31-1-2017]. Available at world wide web: https://twitter.com/twt_micet/status/772379294676885504.

2. A. Othman. (2015). Freeport Afamosa Outlet!. [Online]. [Accessed on 31-1-2017]. Available at world wide web: http://www.shamieraosment.com/2015/12/freeport-afamosa-outlet.html.

3. H. Hafiz. (2014). Kilang kedua Honda sasar peningkatan pengeluaran. [Online]. [Accessed on 31-1-2017]. Available at world wide web: http://www.motorme.my/berita-kilang-kedua-honda-sasar-peningkatan-pengeluaran/.

4. Oh Media. (2016). Wow! Surirumah capai pendapatan RM80,000 sebulan hanya dengan menjual sandwich. [Online]. [Accessed on 31-1-2017]. Available at world wide web: http://www.ohmedia.my /2016/03/wow-surirumah--jual-sandwich-capai-pendapatan-rm80k-sebulan.html

5. P. Morris. (2016). Uber drivers now can ask for tips from riders. [Online]. [Accessed on 31-1-2017]. Available at world wide web: http://www.redmondpie.com/uber-drivers-can-now-ask-for-tips-from-riders/

Comments